Tuesday, April 17, 2018

MATOA

Salam bersiaran.

Saya ada kisah pasal buah matoa ini. Dulu saya panggil Longan brazil.

Berhadapan kebun suami saya, ada 2 batang pokok matoa ini. Bila lalu sahaja melihat buahnya bergayut-gayut rasa terliur. Kebetulan time tu saya mengandung anak kedua.

Pernah ketuk rumah tuan punya pokok, tapi nasib saya tak baik. Tidak ada orang dirumah.

Tak sangka setelah bertahun nak merasai buah matoa ini, akhirnya dapat jugak saya rasa dari pokok yang sama. Kebetulan suami saya lalu tuan pokok tengah mengait buah. Suami saya datang mahu membeli tapi tuan pokok bagi free. Alhamdullilah. 

Rasa Buahnya
Memang betul rasanya seperti laici dan rambutan. Ada yang cakap buah ini ada tiga rasa laici+rambutan+durian. Buahnya serupa kedondong, tetapi kulitnya keras. Bijinya serupa durian. 

Asal pokok ini tumbuh liar di Papua New Guinea. Dan selepas itu pokok ini banyak ditanam di seluruh Indonesia. Jadi tidak hairan lah pokok ini boleh dapat di Sabah. 

Buah yang tuan pokok bagi
Saya upload dalam facebook, ramai yang bertanyakan pasal buah ini. Ada yang tidak pernah tahu kewujudan dan ada yang bertanyakan dimana boleh dapat buahnya. 

Lepas dari cerita di Facebook, kawan ofis bawa buah yang sama. Katanya anak dia ambil di rumah bosnya. Bosnya tanam dari benih pokok yang di ambil dari luar negara. Buahnya saya lihat berlainan dari buah matoa yang saya makan. Isinya lebih tebal. Buahnya besar. Saya kira ianya buah matoa versi jumbo. Atau ainya memang jenis Longan brazil.

Pokok yang saya beli 

Tiap-tiap tahun ada pesta orkid di Manjung. Pesta orkid memang ditunggu tunggu kerana banyak anak pokok dijual selain dari pelbagai jenis orkid.

Kali ini saya datang mencari pokok matoa. Harganya RM15. Sewaktu saya beli pokoknya masih kecil. Saya biarkan dalam polibeg. Tunggu besar sikit baru kalih.

Nota : Pokok matoa saya beli pada 11 Feb 2018. 3Tahun lagi berbuah.

Friday, April 13, 2018

Ceri Acerola (Barbados)

Salam bersiaran.

Ceri Acerola atau nama lain Ceri Barbados atau gelaran keluarga saya Ceri Masam sudah lama kita kenal. Selalunya di Malaysia, kita lebih mengenali Ceri kampung, Ceri surinam dan Ceri terengganu.
Ceri Kampung atau Ceri Liar-Sumber google
Ceri kampung kebiasaannya tidak ditanam, ianya akan tumbuh sendiri oleh benih-benih yang dibawa oleh burung. 
Ceri Surinam - Sumber Google
Ceri Surinam nampak menarik, buahnya berupa buah asam gelugor versi kecil. Buahnya manis dan pokoknya renek. Sehingga ada yang buat bonzai. Saya ada tanam pokok ini, malangnya tukang paip telah mencangkul pokoknya. Sedih saya.

Ceri Terengganu - Kredit to KBB
Dah namanya ceri terengganu pastinya ianya banyak ditanam di Terengganu. Rasa buahnya manis dan sedikit kelat. Buahnya berupa gugusan anggur atau gugusan buah rambai. 


Pokok Ceri barbados saya yang semakin membesar
Pokok Ceri Acerola
Pokok ceri ini sesuai ditanam dalam iklim tropika jadi tidak hairanlah ianya sesuai ditanam disini. Pokok ini boleh hidup dibawah cahaya matahari terus. 

Sebenarnya nama saintefik pokok ini ialah Malpighia Emarginata sebab dia adalah dari keluarga Malpighiaceae. (Rujuk Wikipedia)
Buah merah dan hijau

Bunga dan buah
Bunganya berwarna pink dan buahnya berwarna hijau (Muda) dan merah bila sudah masak. Bentuk buah seakan-akan buah epal versi kecil. Rasanya buah hijau lebih ranggup dan tidak masam dan buah merah sangat masam. Saya gemar memakan buah hijau. Sebab boleh kunyah dengan bijinya sekali.

Buahnya mengandungi vitamin C yang sangat tinggi.

Pokok ini sentiasa berbuah. Tiada musim. Selalunya selepas musim hujan buahnya akan menjadi lebat. 
Bunga pink

Buah hijau di pokok
Cara Penanaman
Boleh secara tut dan biji benih. 
Pokok dah tinggi dari saya
Saya cadangkan anda menanam pokok ini, ianya menjadi bualan tetamu yang datang. Malah tetamu akan teruja dengan buahnya. Memandangkan pokok di rumah sentiasa berbuah jadinya bertaburanlah jatuh tiada siapa yang makan. Jika ada tetamu kami akan suruh kutip sampai habis.

Wednesday, April 11, 2018

Pokok Mulberi

Catatan Mulberi saya sebelum ini

Pokok mulberi bukanlah pokok yang asing di Malaysia. Asalnya dibawa masuk ke Terengganu untuk projek ulat sutera. Apabila kita dapat tahu kewujudan pokok ini maka ianya menjadi tanaman yang wajib ada setiap rumah. Ini kerana buah dan daunnya boleh dimakan. Buahnya boleh dibuat jem dan air jus manakala daun atau pucuknya boleh dimasak sebagai sayur. Selalunya saya masukkn daunnya dalam sup ayam. Sangat sedap.
Buah yang baru dipetik

Khasiat Buah Mulberi dan Daun
Buah mulberi mengandungi asid sitrik, dan vitamin c. Biji didalam buah mulberi mengandungi ureas. Daun mulberi mengandungi adenin, amilas, asid suksinik, karotena dan kolin. Khasiatnya antaranya mengawal dan mengurangkan kolestrol dalam pembuluh darah, dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan kencing manis. Dapat membantu mengurangkan berat badan dan melambatkan proses penuaan, antioksidan dan yang paling bestyer bagi ibu-ibu yang menyusu, daun mulberi ini dapat meningkatkan produksi susu badan. Wah hebat bukan!

Secara saintefiknya, daun mulberi mengandungi beberapa ekstrak kimia seperti ecdysterone, inokosterone, lupeol, betasitosterol, rutin, moracetin, isoquersetin, scopoletin, scopolin, alfa, betahexenal, cis beta hexenol, cis lamda hexenol, benzaidehide, eugenol, lanaloolbenzyl alcohol, butylamine, acetone, trigonelline, cholin, adenine, copper, zinc, vitamin (a, b1, c dan karoten)dan amino, clorogenik, fumarat, folat, dan asam formyltetrahydrofolik, mioinositol dan phytoestrogen. Ha panjang kan sepatahpun tak faham.

Ulat Sutera
Seperti yang kita sedia maklum, daun mulberi ini adalah makanan istimewa ulat sutera. Katanya kalau ulat sutera tak makan daun ini maka ulat sutera ini tak dapat menghasilkan sutera yang baik.

Ulat sutera memakan daun mulberi - Sumber google
Ya betul.
Pokok ini bukanlah susah untuk ditanam. Baja apapun boleh diberikan terutama baja organik. Pokok yang saya tanam ini tidak diberikan penjagaan yang khas. Seingat saya tiada baja pon diberi. Ianya subur kerana berada diatas tanah tempat bakar sampah. 

Sepatutnya tanam pokok apepun haruslah dibaja. Jika ditanam didalam pasu haruslah dibaja sebelum pemangkasan.

Jenis Pokok Mulberi
Mulberi ini buahnya ada tiga warna, hitam, merah dan putih. Bentuk buahnya pula, ada panjang, gemuk (giant) dan ada saiz normal. Rasanya manis bila buahnya berwarna hitam dan masam bila warna merah. Untuk mulberi yang buahnya panjang, buah merah rasanya manis.
Mulberi jenis panjang - Gambar ambil dari google
Pokok mulberi yang saya tanam - panjang buah 2.5cm
Cara Penanaman
Terdapat 3 cara iaitu tut, keratan batang dan biji benih.

Di Malaysia cara penanaman yang paling popular dan praktikal adalah melalui keratan batang. Jarang kita dengar melalui tut dan apetah lagi melalui biji benih. Jika anda perasan bijinya sangat kecil.

Pokok mulberi boleh hidup di tempat yang banyak terima cahaya matahari. Ianya pokok beri yang boleh hidup dengan apajuga keadaaan. Kerat batangnya yang berwarna coklat (matang) dan direndam dalam pengalak akar. Cucuk kayu menyereng atau menegak dan masukkn separuh dari panjang keratan di dalam tanah atau pasu. Pastikan mata tunas tidak terbalik. Seminggu akan tumbuh tunas baru. 

Pembuahan
Kalau ikukan pembacaan, kita kena kerat batang (pangkas) dan keluar tunas baru dan terhasillah buah. Namun ada satu lagi cara untuk kita dapat buah yang lebat adalah membiarkan batangnya melentur sepanjang kurang atau lebih 8 meter tanpa memangkasan. Dari batang yang panjang itu akan terbit pucuk baru yang mengeluarkan buah.

Jika anda perasan, buahnya akan jadi banyak, lebat dan besar bila musim hujan.


Batangnya melentur dapat menghasilkan buah yang banyak
Ini sahaja perkongsian saya untuk pokok mulberi ini. Anda akan rasa teruja bila memetik mulberi yang lebat berbuah. Sambil petik sambil makan. Anda harus berhati-hati jika buah yang lambat dipetik dianya sudah busuk dan tidak elok. Kadang-kadang ada buah yang didalamnya ada ulat putih. Buah mulberi tidak masak sekali, jika anda ingin mengumpul, buah yang anda petik itu haruslah disimpan di dalam peti beku.  

Monday, March 23, 2015

KEMBALI setelah lama menyepi

Salam bersiaran.

Tak sangka untuk amik mood menulis kali ini lama sungguh.

Ada sesekali jenguk blog ini tapi tengok2 aje. Banyak jugak pageviews kat pembelian online. Setiap hari ade saje yg pageviews.

Pembelian online baca disini.

Untuk pembuka mukadimah saya tertarik untuk memudahkan jalan cerita pembelian online anda dalam pencarian pokok-pokok dan biji benih.

Sumber pertama.
Kebun Bahagia Bersama. Link

Anda akan berkenalan dengan pokok-pokok nadir (seperti namnam, kuning telur, ceri terengganu), pokok-pokok bunga, pokok herba dan bermacam biji benih dan ilmu yang tukang kebun kongsi bersama. Hebatkan?

Dalam blog ini anda akan dapati komen-komen dari satu kumpulan ibu-ibu yang mempunyai minat yang sama dan menyokong antara satu sama lain.

Sumber kedua.
Cikgu Fauzan. Link

Taman temperate. Dah tentu jual pokok yang temperate. Seperti pokok lai, epal, pear, dan plum. Cikgu juga adalah pakar pokok tin. Malah baru-baru ni dia menjual pokok kurma. Selain itu anda akan nampak keterujaan beliau dalam mengumpul koleksi pokok-pokok yang tak pernah ada di Malaysia seperti seperti Jaboticaba. Hebatyer pokok ini dalam 9biji ade 9rasa dan berlainan warna. Subahanallah! hebat.

Sumber ketiga.
Puan Maizah. Link

Sape tak kenal kan dah beberapa kali masuk TV. koleksi pokok tin banyak. Bermacam-macam jenis. Ada juga mnjual pokok epal dan angur.

Sumber keempat.
Tanam Sendiri. Link

Blog ini adalah blog yang terawal yang saya kenal. Dari menjual biji-biji benih, anak-anak pokok sehingga mengeluarkan beberapa buku.

Sumber kelima. link
Semua Menjadi

Orang Ipoh. Pembelian pokok kemunting memperkenalkan saya dengan empunya blog.

Sumber ke enam. Link
Saloma

Ladang anggur yang terkenal di Manjung/Sitiawan. Terletak di Lekir. Sekampung dengan saya. Kalau Hari Peladang tu tempat kak Saloma la ramai orang. Teruja kan sebab pokok-pokok kak saloma kan lain dari yang lain.

Sumber ketujuh.
Link

Saya adalah orang yang selalu intai blog yer. Belum berkesempatan membeli pokok. Anda pasti teruja dengan koleksi yang ada. pokok kiwi pon ada tau! pokok zaitun lah yang saya idam-idamkan tapi tak tau berapa harganya.

Sumber Kelapan.
Stevia Healthysweetness. Link

Anda akan dapat lagi banyak pokok nadir atau pokok yang anda tak pernah dengar seperti pokok peanut butter, pokok longan brazil, pokok vanila dan macam-macam lagi. Pasti anda sangup berhabis duit untuk pokok-pokok tersebut. Memang terbaik!

Sumber kesembilan.
Joe Jalil. Link

Kepada anda yang sukakan konsep hidroponik. Anda belilah disini. Perkenalan saya dengan Abang Joe ni bermula minat menanam pokok stoberi. Sekarang dah jadi tokey produk hidroponik. Sangat-sangat terbaik.

Sumber kesepuluh.
Link

Yang ini lagi best. Dia jual biji benih je. Bermacam-macam bunga, herba, pokok sayur yang anda pasti suka. sepeket hanya rm2! berbaloi-baloi.

Rasanya ini saja la link yang akan menambah keterujaan anda untuk menanam. Bak kata pepatah melayu berbudi pada tanah ada manfaatnya.

Saya berharap perincian ini dapat membantu anda. kalu ada link yang hendak anda kongsikan sila la beritahu saya.

Sunday, July 6, 2014

Berhenti seketika

Saya disahkan hamil dan sekarang sudah masuk 14minggu.

Saya mintak maaf jika ade email dan komen yang tidak berjawab.

Sehingga hari ini saya mempunyai alah yang sangat pelik. Saya tak nak sentuh pokok-pokok saya. Saya rasa loya. Saya tak tahu kenapa tapi mungkin disebabkan hormon saya yang tidak stabil ini.

Sampaikan nak buka blog pon susah bagi saya apatah lagi nak buka blog-blog kawan-kawan.

Ada banyak pokok yang perlu saya cerita. tapi saya fikir eloklah saya tunggu keterujaan saya kembali semula.

Saya sebenarnya tak sangka blog saya ini dapat perhatian. Setiap hari ada saja pageviews. mungkin saya perasan tapi bagi saya untuk blog baru belajar macam saya 11ribu pageviews tu sudah cukup buat saya gembira. :) Terima kasih pada anda yang telah gembirakan saya.

Saya akan meneruskan kecintaan saya pada tumbuhan. Tapi buat masa sekarang saya terpaksa berhenti seketika. Harap anda semua masih setia menanti di blog ini.

Sekian, salam sayang dari saya.

Wednesday, February 12, 2014

Fenomena Stoberi

Saya sangat teruja dan sangat bangga bila mengunjungi Facebook Geng Stoberi Tanah Rendah. Anda tahu kenapa? sebab anda bercerita dengan orang yang sama minat dengan anda. Terasa mereka-mereka ini adalah keluarga saya. Berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pendapat.

Dan ternyata sebenarnya sudah ramai yang cuba menanam stoberi dan berhasil. Satu tabik untuk mereka yang berjaya menanam stoberi tanah tinggi di tanah rendahkan. Umpama mat salleh London (Oh My English) berhijrah ke Malaysia. Ewah. Maksud saya berlaku pertukaran cuaca, budaya dan makanan. Yelah mula-mula datang Malaysia mesti nak makan westren kan? tapi lama-lama boleh la makan sambal belacan. Tak gitu?

Jika anda tanam stoberi tanah rendah itu dah tak menjadi masalah. Kerana stoberi ini dah biasa dengan udara kering dan suhu yang tinggi. Namun begitu stoberi ini juga kena diberi perhatian yang penuh. Kadang-kadang elok didedahkan pada suhu yang tinggi dan kadang-kala elok berada ditempat yang redup untuk pembuahan yang lebih besar.

Ada yang meragui bila melihat saya tanam pokok stoberi. Boleh hidup ke? tanam dalam peti ais ke? letak dalam bilik air ke? dan jangan ketawa bila saya cakap saya pernah bawa masuk pokok stoberi dan diletakan di dalam bilik air. Sewaktu permulaan saya cuba menanam. Yelah Memang mati la pokok tu sebab tak dapat cahaya matahari.

Tips bagi anda yang baru menanam stoberi yang saya boleh kongsikan ialah pastikan pokok ini berada pada kelembapan yang sepatutnya. Dapat cahaya dalam 3-5jam. Pembajaan dan halang dari terkena serangan penyakit.

Untuk kita yang menanam secara organik ini, perhatikan buah pada mulanya besar tapi semakin lama semakin kecik, buahnya dah merekot dan tak cantik. Jangan takut. Itu adalah perkara biasa bagi pembajaan organik. Biasanya pokok stoberi terdedah dengan penyakit. Secara organiknya jika anda nampak pokok anda layu berpenyakit lebih baik anda buang supaya tidak berjangkit dengan pokok-pokok yang lain.

Cara penanaman stoberi yang paling bagus adalah secara fertigasi dibawah sistem perlindungan hujan (SPH). Lebih efektif dan meningkatan kualiti serta kuantiti. Seingat saya ada satu artikel yang memberitahu bahawa untuk pemdebungaan pokok stoberi tidak boleh terdedah pada hujan. Ianya boleh merosakan sistem pemdebungaan.

Betul kata Joe Jalil, admin geng facebook stoberi ini, tanam stoberi ada karen. Renjatan elektrik. Jangan takut renjatan ini renjatan yang tidak menyakitkan. Malah anda akan rasa sebelum pergi kerja wajib tengok pokok stoberi dan snap beberapa gambar, dalam ofis upload gambar yang anda ambil tadi dan bercerita dengan group tersebut. Kalau ada yang jual pokok stoberi anda terus order walaupon anda baru saja beli pokok stoberi. Anda terus beli dan beli. Tidak sekadar beli online waktu rehat anda singgah ke nurseri untung-untung ada pokok stoberi lagi. Jam pukul 5 dah tak sabar nak balik rumah. Sampai rumah terus tengok pokok. belek-belek pokok dan sembang-sembang cinta dengan pokok, belai-belai, bagi baja, sembur neem oil. Leka sampai lupa masak untuk suami. Esok ulang benda yang sama. Kalau ada buah stoberi lebih bekalkan dalam bekas nasi anak untuk pencuci mulut. Wah gitu! nampak mat salleh sikit.

Apa lagi yang saya tertinggal?

Cerita pasal sulurnya. Bila nak putuskan sulurnya? orang kata cerai susu. Eceh!. Bagi saya anda boleh biarkan sulur pertamanya sudah mengeluarkan 5 atau 6 daun itu adalah yang paling baik untuk putuskan sulurnya. Saya pernah potong sulur yang baru 3 dan 4 daun tapi tempoh pembesarannya agak lambat.

Pembajaan pula seeloknya pakai baja cecair. Saya punya baja namanya Bio One. Saya beli dekat pasar Sabtu di tempat saya. Harganya agak mahal botol kecil sahaja 250ml RM15. Tapi pengunaannya sedikit 2ml untuk 2liter air. Jika anda tidak jumpa baja cecair anda boleh guna baja bulat-bulat itu direndam dalam air. dan airnya anda siram pada pokok. Mujarab juga. Tambah perlite lagi bagus.

Bermula tanam pokok stoberi adalah kerana suka-suka. Bila dah hidup beranak-pinak timbul satu perasaan bangga yang tak boleh cerita sampai saya tanam pada sudut yang orang atas rumah saya boleh nampak. Nampak tak perasaan riak saya yang tidak boleh dikawal. Hahaha. Dan Allah itu maha mengasihani saya. Datang burung-burung lepak atas pokok stoberi saya dan mematah matahkan daunnya. Yang peliknya sudut riak saya itu yang burung kerjakan. Pokok stoberi saya yang lain tidak kena pon.

Itu la padahnya bila ada perasaan nak menunjuk. Astafirullah!

Moralnya pokok ini hidup atas kehendakNya. Berniat baiklah. Sesungguhnya rezeki itu datang dariNya.

Lobak Merah ( Bacaan: Carrot)






kecil je kan? tapi ini la yg ada. Yang lain lebat daunnya tapi tak ada pon lobaknya.

Walaupon kecil tapi saya sangat puas hati. Kecil-kecil ini pun saya dah rasa bangga. Rasa kerek sikit. Ehemm.

Anda nampak tak saya tanam garfu? itu adalah untuk mengelakkan kucing atau ayam lepak kat dalam bekas itu. Almaklum la tempat camtu kan diorang suka guling-guling. 

Asal usul benih ini saya dapat dari adik saya yang berlajar di Republic Czech

Jangan tanya saya kenapa dipanggil lobak merah padahal warnanya jingga atau oren. Sebab saya tak tahu la kenapa.

Bagus lobak ini untuk mata. Sebab dia ade vitamin A. Vitamin A dalam lobak antara fungsinya adalah membina pigmen bagi penglihatan pada waktu malam. Itu sebablah mak-mak kita bagi kita makan lobak dari mula kita makan bubur semasa bayi hinggalah sekarang. Dan nak dijadikan cerita anak saya, Lisa saya bagi dia makan bubur yang ada campuran lobak ini, malam-malam dalam bilik tidur yang gelap dia boleh nampak puting dia dimana. Sungguh! Memang betul. 

Bukan mata saja lobak juga anti kanser, boleh kurangkan kolestrol, boleh kurangkan gula dalam badan, mengurangkan risiko sakit jantung dan menbantu penghadaman.